Untuk proses "Taaruf" yang seterus yang saya ingin bawakan ialah pengenalan kepada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Mesti para pembaca begitu pelik kenapa saya ingin memperkenalkan ISMA di dalam blog ini. Tanpa berselindung disebalik Mee Sedap, ISMA adalah tempat saya membina fikrah melalui tarbiyyah Islamiah, berpadu dan mengembeling tenaga dalam kerja dakwah kearah satu matlamat yang jelas dan sesuai dengan matlamat hidup diri saya sebagai seorang muslim. Sebagai sorang insan muslim yang inginkan melakukan kerja dakwah melalui penulisan blog, pembawaan dan penerangan yang saya cuba sampaikan telus tanpa ragu-ragu menjualang agenda ISMA itu sendiri iaitu "MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT" dan "MEMBINA GENERASI HARAPAN". Mungkin para pembaca boleh meluangkan sedikit masa untuk memahami agenda ISMA di laman utama kami.
Perjuangan utama ISMA buat masa ini ialah ingin menerapkan jati diri pemuda-pemuda Melayu berorentasikan cara hidup Islam keseluruhannya dengan mengambil kira faktor agama, budaya, bahasa, nilai moral ke timuran dan sejarah kegemilangan bangsa tercinta ini. Antara program yang dianjurkan untuk menjayakan agenda umat ini ialah perbincangan ilmiah seperti forum, kovensyen, halaqah mingguan, seminar, bersukan, berdakwah di pelbagai peringkat (kanak-kanak. remaja, mahasiswa, ibu bapa, wanita dan banyak lagilah), perkemahan, program keusahawanan, pertarbiyahan, khidmat masyarakat, pendidikan dan banyak lagi.
Mungkin pautan-pautan dibawah boleh mengambarkan usaha-usaha kami
1)Sirah Muzikal
2) Konvensyen Sempena Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melaka
Laman web rasmi KEMM 1511
Gambar konvensyen
Video KEMM 1511
3)
LOGO ISMA |
PENGENALAN
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memainkan peranan di tengah masyarakat dengan hasrat membentuk dan membina masyarakat yang unggul dan gemilang. Untuk tujuan itu, ISMA mengajak masyarakat agar mengamal, dalam kehidupan seharian, ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP YANG UNGGUL DAN SEMPURNA!
ISMA merupakan sebuah entiti yang berdaftar dan tidak bermotifkan keuntungan. Dengan misinya untuk membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi, ISMA berazam untuk memberi impak kepada masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti. ISMA komited dalam mencapai matlamat penubuhannya di samping mempunyai ahli-ahli yang konsisten melaksanakan program dan aktivitinya.
ISMA berusaha mengajak masyarakat kepada kesejahteraan dan keutuhan keluarga sebagai aset kekuatan dalam pembentukan masyarakat kerana ISMA mahu mencorakkan bangsa ke arah kemajuan, berdaya saing dan mampu menjadi sebuah entiti yang mewarnai kepimpinan masa depan.
ISMA berhasrat untuk memikul amanah sebagai organisasi yang memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat sama ada dari segi aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangunan remaja, belia serta wanita.
ISMA bukan parti politik dan tidak akan terlibat di dalam sebarang kegiatan politik kepartian.
TUJUAN DAN MATLAMAT ISMA
Menggabungkan dan menyatukan semua warga negara Malaysia yang berumur lapan belas (18) tahun ke atas dan beragama Islam dalam sebuah pertubuhan yang melaksanakan segala bentuk aktiviti dan program dalam bidang kebajikan, sosial, ekonomi dan pendidikan ke arah pembentukan peribadi Muslim yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Menggembelingkan kepakaran dan pengalaman ahli‑ahli dan sukarelawan yang berminat ke arah berkhidmat untuk masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.
Mewujudkan sebuah pusat sumber sebagai tempat rujukan ahli dan masyarakat dalam proses penyelidikan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Menjadi anggota kepada pertubuhan‑pertubuhan Islam di dalam dan luar negara yang mempunyai tujuan‑tujuan dan matlamat-matlamat yang sama dengan ISMA serta menerima keanggotaan pertubuhan‑pertubuhan tersebut.
Menjalinkan kerjasama dan menjalankan aktiviti dengan pertubuhan‑pertubuhan di dalam dan luar negara dalam menjayakan matlamat dan tujuan ISMA demi kebaikan dan kepentingan masyarakat.
Mewujudkan pusat‑pusat pendidikan dan latihan ke arah meningkatkan taraf sosio‑ekonomi ahli dan masyarakat.
Menyedia, menerbit dan menyalurkan maklumat‑maklumat yang melibatkan kepentingan ahli dan masyarakat melalui saluran‑saluran media yang dibenarkan oleh pihak berkuasa secara kerjasama dengan pihak media massa di dalam dan luar negara.
Menerima dan menguruskan sumbangan‑sumbangan sama ada dalam bentuk wang atau selainnya daripada ahli‑ahli ISMA sendiri (selain daripada yuran keahlian) atau daripada mana‑mana pihak individu atau institusi/syarikat/firma dari dalam dan luar negara dan sebagainya yang berminat untuk membantu ke arah pencapaian tujuan‑tujuan dan maksud ISMA.